Hari Penyayang

Karnival Amal Hari Penyayang merupakan karnival 2 hari berkonsepkan “Berhibur Sambil Menderma” anjuran YSB yang mana ia telah memasuki edisi yang ke 19 pada tahun 2017. Ianya juga merupakan satu acara yang begitu unik melibatkan serta mengumpulkan pelbagai Badan NGO, Jabatan dan Agensi Kerajaan dan pihak swasta untuk mengadakan berbagai acara yang melibatkan kanak-kanak prasekolah, murid-murid sekolah, para belia dan orang dewasa dari berbagai kaum. Hasil daripada acara-acara dan juga sumbangan orang ramai dan pihak swasta adalah kutipan atau pengumpulan dana untuk Yayasan Sultanah Bahiyah dan juga NGO-NGO yang mengambil bahagian. Acara yang mengumpul kutipan yang memberangsangkan untuk karnival amal ini adalah Lelongan Amal yang mana ia adalah acara yang menggunakan konsep bidaan pelbagai barangan termasuklah milik koleksi peribadi Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mendapat perhatian penderma serta pengunjung yang hadir. Setiap edisi penganjuran pasti ada kelainannya, bermacam aktiviti serta acara baru yang dibawa ke karnival amal hari penyayang menjadikan ia antara karnival yang terbesar serta mendapat bilangan kehadiran sehingga 50,000 pengunjung pada setiap tahun.