BAHAGIAN Pembangunan Kerjaya Projek Titian Ehsan YSB telah menganjurkan satu aktiviti Lawatan Kerjaya Remaja Siri 1/2013 bermula 27 – 29 Mac 2013 yang lalu melibatkan keseluruhan 40 orang pelawat terdiri dari 30 pelajar menengah daripada 3 daerah pendidikan iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Kuala Muda dan 3 peserta belia dari daerah Pokok Sena.

Turut serta Pengerusi Bahagian Pembangunan Kerjaya YSB - Dato’ Haji Nasir b. Mustafa dan Datin, 2 guru pengiring, Penyelaras Projek Titian Ehsan YSB serta 5 Sukarelawan Urusetia YSB.

Lawatan di Akademi Laut Malaysia (ALAM) pada pagi 28 Mac 2013 amat memberi input kepada peserta berkaitan pusat pengajian lanjutan khususnya para lepasan SPM yang mana kerjayanya menarik serta menjanjikan pendapatan lumayan walaupun hanya perlu menamatkan pengajian di tahap Diploma.

Peserta amat teruja apabila pihak ALAM menyatakan bahawa kerjaya sebagai Kapten kapal boleh menjangkau gaji lumayan sehingga RM30 - RM90 ribu sebulan.

Pelbagai kerjaya tersedia dalam sektor perkapalan dan maritim bermula dari kakitangan pengurusan, kapten, kejuruteraan, pembantu teknik, kelasi termasuklah juga chef masakan yang menjanjikan gaji lumayan dan pengalaman menarik antaranya dapat mengelilingi dunia sepanjang tempoh kerjaya.

Pada sebelah petang 28hb dalam Lawatan di Perdana Petroleum Berhad (PPB) peserta diberi pendedahan tentang industri hiliran minyak dan gas seperti pekerjaan di pelantar minyak, kapal kargo dan kapal bantuan teknikal bagi kerja penyelenggaraan pelantar dan kapal. Kini peserta lebih memahami selok belok dan peluang pekerjaan dalam industri maritim, hiliran minyak dan gas serta terbukalah minda untuk mengejar cita-cita yang asing bagi mereka sebelum ini kerana kurangnya pendedahan.

Di Pangkalan TLDM Lumut pada 29 Mac peserta dibawa melawat ke Unit Udara TLDM dikenali KD Rajawali dan dapat melihat sendiri dengan dekat helicopter jenis Fennex buatan Perancis yang menjadi asset TLDM. Peserta juga diberi taklimat ringkas kerjaya sebagai anggota TLDM dan peluang yang dapat dicapai jika menceburi TLDM selepas ini.

Peserta akhirnya dibawa melawat ke Muzium TLDM di KD Pelandok yang memaparkan sejarah TLDM khasnya maklumat mantan Panglima-panglima TLDM dari dulu hingga sekarang dan mengelilingi sekitar Pangkalan TLDM Lumut malah sempat ‘menjamu mata’ dan menjamu selera di gedung membeli belah Pernama dan diakhiri dengan bersolat Jumaat di Masjid An Nur bersama para anggota dan penghuni Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

YSB merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Akademi Laut Malaysia (ALAM), Perdana Petroleum Berhad (PPB) dan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) Markas Armada Lumut yang sudi memberi peluang kepada YSB menjayakan program ini. Tidak lupa juga kepada Syarikat Bintong Travel & Tours Sdn Bhd yang sudi menaja pengangkutan bas sepanjang program 3 hari 2 malam tersebut.