A- A A+

Logo ysb

banner-logo3

 KEM INTEGRASI SUKARELAWAN YSB 2013 (KIS YSB 2013) BERAKHIR DENGAN JAYANYA

10-13 April – Daerah Yan sekali lagi dipilih sebagai lokasi Kem Integrasi Sukarelawan YSB 2013 melibatkan lokasi utama di Chalet Putri Ayu, Pulau Songsong dan Peranginan Titi Hayun, Yan , Kedah.

Seramai 60 Sukarelawan terlibat sebagai peserta yang datang dari segenap pelusuk negeri Kedah antaranya Kulim, Kuala Nerang, Kubang Pasu, Kuala Muda, Yan, Kota Setar, Langkawi malah sehingga ke Selama, Perak.

Peserta terdiri dari mereka yang berumur antara 16 – 69 tahun dari pelbagai latarbelakang antaranya warga pesara, kakitangan kerajaan, kakitangan swasta, penuntut IPT, surirumah, bekerja sendiri, pelajar sekolah malah yang masih belum bekerja turut sama mengikuti kem 4hari 3malam tersebut dengan jayanya.

Hari pertama dipenuhi dengan aktiviti suaikenal, pembentukan kumpulan dan pengukuhan organisasi kem dikendalikan oleh En. Syukor Mahamud selaku Kem Komandan dan Pegawai Projek – En. Muhd Nasir sendiri dengan dibantu oleh Urusetia terlibat. Manakala hari kedua pula diisi dengan aktiviti penerangan Karnival Amal Hari Penyayang dan Gerakerja Kumpulan bersama kakitangan YSB dan Setiausaha Hari Penyayang.

Sebelah malamnya diisi dengan taklimat berkaitan gerakerja gotong royong dan persediaan awal sebelum ke Pulau Songsong. Hari ketiga merupakan hari paling dinantikan apabila peserta bersemangat bergerak seawal jam 7.30 pagi ke Jeti Kuala Sungai Udang, Yan menggunakan 2 buah trak milik Rejimen 513AW dan Majis Daerah Yan seterusnya belayar dengan 2 buah bot besar ke Pulau Songsong bagi tujuan menjayakan gotong-royong pembersihan dan pengindahan di pulau yang terletak 4 batu nautika dari Kuala Sungai Udang.

Perjalanan selama lebih kurang setengah jam dilambung alunan ombak yang kadangkala sedikit ‘ganas’ mendebarkan peserta yang baru pertama kali menyertai aktiviti sebegini dan setibanya di pulau taklimat khas keselamatan diberikan oleh Urusetia Keselamatan – Peg Waran 2 Halim Sahak dari Rejimen 513AW dan taklimat kaedah penanaman pokok rhu disampaikan oleh pegawai Jabatan Perhutanan.

Misi penanaman 20 batang anak pokok rhu, pemasangan 4 unit papan tanda kesedaran awam, mengutip sampah sarap hanyut atau ditinggalkan dan pembersihan surau serta dewan terbuka sediada di situ berjaya ditamatkan pada jam 1.00 petang. Jumlah peserta, urusetia serta kakitangan agensi yang turut serta dalam slot ini mencecah 140 orang semuanya sempat pula menjamu selera beramai-ramai sambil dibuai bayu pulau. Sebelum pulang peserta turut mengerjakan solat Zohor berjemaah di surau berkenaan.

Wakil-wakil agensi yang turut sama ke Pulau Songsong ialah Jabatan Perhutanan, E-Idaman, Jabatan Pelancongan, Jabatan Belia, Majlis Daerah Yan, APMM, Rejimen 513AW, UUM, dan A&A Usaha Maju SB.

Sewaktu perjalanan balik lebih kurang jam 3.30petang peserta diuji dengan cabaran ombak yang agak besar kerana tiupan angin yang sedikit kencang menjadi pengalaman yang agak menakutkan sehingga ada peserta yang ‘pening-pening lalat’ dan mabuk laut.

Sebaik tiba di Jeti Kuala Sungai Udang, Yan peserta bergerak ke Peranginan Titi Hayun, Yan dengan 2 buah trak untuk slot perkhemahan dan menghiasi malam terakhir kem dengan makan malam ‘barbeque’ serta persembahan malam bakat. Pelbagai kerenah dapat dilihat ditambah pula hidangan yang melazatkan.

Hari keempat, peserta masih bersemangat kental dan ceria tidak sabar menanti saat penutupan dan menerima sijil penyertaan tanda ‘bergelarnya bekas peserta’ Kem Integrasi Sukarelawan YSB Siri 2013.

Jam 11.30pagi majlis penutupan dan penyampaian sijil kem disempurnakan oleh Puan Misbah bt. Dato’ Haji Abdul Hamid – Pengurus Besar YSB serta dihadiri oleh ketua-ketua jabatan dan wakil agensi terlibat.

Jutaan terima kasih kepada semua yang membantu menjayakan kem pada kali ini antaranya Pejabat Daerah Yan, Majlis Daerah Yan, Jabatan Belia dan Sukan, PDRM Yan, Rejimen 513AW, JKR Yan, Hospital Yan, Agensi Penguatkuasaan Maritim, Jabatan Pelancongan, Jabatan Perhutanan, Environment Idaman, Putri Ayu Chalet, A&A Usaha Maju, Universiti Utara Malaysia, Bintong Travel & Tours Sdn Bhd serta beberapa ahli Jawatankuasa Projek Titian Ehsan YSB.

Selamat bertugas di Hari Penyayang 2013 dan semoga berjumpa lagi di KIS YSB 2014.