OMBAK BESAR TSUNAMI
29 Disember 2004 - KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan rombongan meluangkan masa melawat mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana Ombak Besar Tsunami, di Kuala Muda Kedah Darul Aman. Tuanku Sultan juga berkenan menziarahi kelaurga mangsa yang meninggal dunia selain dari menyampaikan ucapan takziah, baginda juga menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa terbabit. Pengerusi YSB, YTM Dato' Seri Tunku Puteri Intan Safinaz, juga turut serta dalam lawatan ini. Beliau menyampaikan barangan seperti selimut, pakaian terpakai dan lain-lain barangan kepada Pegawai Daerah Kuala Muda untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa yang terlibat. YSB akan terus menyumbang dari masa ke semasa kepada mangsa tersebut.
--------------------------------------------------------------------------------
1 Januari 2005 - KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan Tuanku Sultanah Kedah melawat mangsa tsunami di daerah Langkawi, Kedah dan mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah Langkawi serta meluangkan masa melawat penempatan sementara di Sek. Keb. Kuala Teriang di mana 800 orang ditempatkan disitu. Pengerusi YSB turut serta dalam lawatan tersebut dan menyampaikan sumbangan bersama dengan badan amal yang lain kepada Pegawai Dearah Langkawi untuk agihan kepada mangsa.
--------------------------------------------------------------------------------
5 Januari 2005 - YTM Dato' Seri Tunku Puteri Intan Safinaz hari ini melawat pusat kesihatan daerah Kuala Muda dan mendengar taklimat daripada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Kedah dan Penghulu Kuala Muda En. Yazid. YTM Dato' Seri Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Pengerusi PBSM Kedah menyampaikan sumbangan perubatan dan barangan makanan kepada penghulu untuk agihan kepada mangsa. Beliau juga turut beramah mesra dengan sukarelawan YSB yang turut serta membantu mangsa di Kuala Muda. Sebelum melawat mangsa di penempatan sementara, beliau juga menyampaikan sumbangan daripada YSB seperti kain selimut, tilam dan lain-lain barangan yang dikupulkan daripada para penderma di Kuala Lumpur.
--------------------------------------------------------------------------------
18 Januari 2005 - Kita dikejutkan dengan trajedi Ombak Besar Tsunami yang melanda dibeberapa daerah di negeri Kedah pada 26 Disember 2004. Ramai yang kehilangan tempat berteduh dan ada juga yang kehilangan mereka yang dikasihi. Bantuan demi bantuan mencurah-curah dihulurkan kepada mangsa yang terlibat. Namun disebalik bantuan yang dihulurkan, terdapat mereka yang menguruskan bantuan-bantuan ini agar dapat disampaikan kepada mangsa-mangsa bencana tersebut. Tanpa bantuan daripada golongan ini, tidak mungkin bentuk bantuan dan program yang dirancangkan oleh Yayasan Sultanah Bahiyah akan dapat dilaksanakan. Para sukarelawan yang disifatkan berjiwa murni oleh Pengerusi YSB hari ini diraikan dalam satu majlis `Jasamu Dikenang' di perkarangan Menara Alor Star, Kedah Darul Aman.
Lebih 600 orang sukarelawan yang terlibat membantu YSB dalam mengumpul barangan terpakai yang disumbangkan oleh orang ramai. Bukan satu kerja yang mudah untuk dilaksanakan tanpa kerelaan daripada hati nurani mereka ini. Sifat murni dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh mereka ini patut diberi pujian. Tiada niliai wang ringgit yang boleh diukur dengan pengorbanan yang dihulurkan. Bukan sahaja di Alor Star, malah di Kuala Muda dan Kuala Lumpur. Tanpa mengira darjat dan keturunan, golongan ini sanggup meluangkan masa yang tidak dijanjikan sebarang imbuhan untuk turut serta membantu tidak kira siang mahupun malam.
Antara yang terlibat ialah Menara Kuala Lumpur, Menara Alor Star, Majlis Belia Negeri Kedah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, JKR Kota Setar/Padang Terap, JKR Mekanikal, Batalion 6 RAMD Kepala Batas Alor Star, Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas Alor Star, Pergerakan Puteri Umno Negeri Kedah, Malaysia Industrial Estate Berhad (MIEL), Monetech Audio Pioneer (Jitra) Sdn.Bhd., Kelab Warga Emas Hospital Alor Star, Pusat Giat Mara Jitra, Pusat Giat Mara Alor Star, Sekolah Menengah Syarifah Rodziah, DHL Courier Service, Emum Trading, orang perseorangan yang terlibat dan juga En. Mohd Nasir Ismail (YSB) yang bertungkus lumus dalam menguruskan penghantaran barangan kepada mangsa.
Pada majlis ini, YTM Dato' Seri Tunku Puteri Intan Safinaz meyampaikan sijil penghargaan di atas pengorbanan mereka. Turut hadir ialah YB Dato' Syed Unan Mashri Syed Abdullah, Haji Nasir Mustafa, En. Ammar Mahmood, Datin Wira Ramizan Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Manara Kuala Lumpur, En. Zulkifli Mohamad.
--------------------------------------------------------------------------------
26 Januari 2005 - YTM Dato' Seri Tunku Soraya serta jawatankuasa kebajikan YSB yang terdiri daripada YTM Datin Tunku Nafisah dan Y.Bhg Datin Wira Ramizan melawat tapak bencana Tsunami di Kota Kuala Muda serta menyampaikan sumbangan barangan makanan dan keperluan rumah kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
Sebelum itu, YTM Dato' Seri Tunku Soraya juga turut berkenan melawat tempat penyimpanan barangan yang disumbangankan oleh orang ramai kepada YSB di kilang MIEL, Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah. Dalam program lawatan ini, beliau diberi taklimat oleh penghulu kawasan Kota Kuala Muda dan juga pegawai daripada Pejabat Daerah, Kuala Muda, Kedah.Selepas melawat kawasan yang dilanda bencana (pinggir pantai), beliau juga berkesempatan melawat rumah penempatan warga emas di Kampung Paya yang terletak 5 kilometer daripada tempat kejadian. Pada akhir lawatan, beliau juga meninjau rumah penempatan mangsa Tsunami (transit) di Permatang katong, Kedah.
| Seterusnya > |
|---|








