ARKIB : 10/10/2009
http://utusan.com.my
Remaja perlu sertai sukan lasak
![]() |
| Tunku Puteri Intan Safinaz beramah mesra dengan peserta papan selaju dari Holland dan Filipina selepas merasmikan Karnival Sukan Lasak Rakan Muda (Terbuka Antarabangsa) di Taman Jubli Emas Suka Menanti Alor Setar, semalam. |
ALOR SETAR 9 Okt. - Golongan remaja di negeri ini disarankan agar menceburi kegiatan sukan lasak bagi mengelak daripada terjerumus dalam kegiatan yang tidak bermoral.
Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, pusat sukan lasak yang dibina oleh YSB di Taman Jubli Emas di sini dibuka secara percuma bagi golongan remaja.
"YSB juga menganjurkan Karnival Sukan Lasak Rakan Muda 09 (Terbuka Antarabangsa) bermula hari ini hingga esok.
"Pihak kami mahu golongan muda terutama di negeri ini bergiat aktif di dalam kegiatan sukan lasak kerana saya yakin remaja dari negara ini mempunyai kemampuan untuk menyinar di dalam sukan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran Karnival Sukan Lasak Rakan Muda 09 (Terbuka Antarabangsa) di sini hari ini.
Seramai 150 peserta dijangka mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang merupakan acara tahunan anjuran YSB dalam usaha memperkenalkan kegiatan sukan lasak kepada remaja di negeri ini.
Antara peserta yang mengambil bahagian ialah peserta daripada Filipina dan Singapura.
Menurut Tunku Puteri Intan Safinaz, remaja Asia mempunyai potensi yang besar dan mampu memberikan saingan kepada remaja Barat di dalam sukan lasak ini.
"Remaja kita ada semangat dan jati diri kuat dan mereka perlu yakin yang mereka juga mampu menjadi sehebat remaja Barat dalam kegiatan sukan lasak ini," katanya.
Jelas beliau, prasarana yang dibina di pusat sukan lasak di Taman Jubli Emas moden dan sesuai bagi mereka yang mahu berjinak-jinak di dalam kegiatan sukan lasak.
"Pusat sukan lasak ini disasarkan kepada golongan remaja dan meliputi tiga kemudahan elemen sukan lasak seperti basikal BMX, papan laju dan sepatu roda.
"Tempat ini juga dibuka setiap hari dan saya harap golongan muda perlu segera mengambil peluang ini untuk memajukan diri sendiri," katanya.









